Wednesday, January 12, 2000

NASI MINYAK KAROT (WORTEL) DAN KARI AYAM KAMPUNG

Gunakan seekor ayam kampung yg sudah tua dan liat dagingnya. Setelah diproses (bersih dan cincang), rebuslah ayam itu terlebih dahulu dengan air yang banyak sehingga empuk. Air ini dijadikan stok dan digunakan dalam kedua dua masakan nasi dan kari.

NASI KAROT

Bahan-bahan utk nasi karot:

Beras (kuantiti ikut pilihan, sebarang beras termasuk basmathi atau beras putih). 
1 kiub pati ayam 
Air rebusan ayam, sukat ikut kesesuaian air masak nasi.
5 batang serai dititik (mengikut banyak beras)
Sehelai daun pandan disimpul
2 kuntum bunga lawang
7 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis (kecil)
1 biji bawang besar ditumbuk halus
5 ulas bawang putih ditumbuk halus
1 batang karot sederhana besar (dicincang halus)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam
minyak masak (boleh gunakan minyak sapi atau magerin)

Cara-cara memasak:

Panaskan minyak, tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga, kemudian masukkan bawang besar, bawang putih dan goreng sehingga warna bawang sedikit keperangan. Kemudian masukkan air rebusan ayam, serai, kiub ayam, serbuk lada hitam dan garam. Biarkan sampai mendidih dalam dua minit. Kemudian biarkan sampai betul betul sejuk. 

Sementara itu cuci beras. Setelah bahan tumis sejuk, masukkan beras dan karot cincang ke dalam periuk nasi elektrik dan masukkan seluruh air tumisan tadi ke dalamnya dan sukat air seperti biasa. Jika kurang boleh ditambah air biasa. 

Masukkan daun pandan dan tanak lah nasi seperti biasa sehingga masak. Setelah masak bolehlah ditabur apa apa hiasan yg digemari seperti bawang goreng, daun ketumbar dan sebagainya. 

KARI AYAM KAMPUNG

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam kampung yg sudah direbus empuk.
1 biji bawang besar (*)
5 ulas bawang putih (*)
satu inci halia (*)
3 tangkai daun kari (*)
3 paket kecil serbuk kari ayam (ikut selera)
3 sudu makan cili boh (atau boleh diganti dgn serbuk cili)
3 biji kentang (dipotong dadu sederhana besar)
1 keping asam gelugor
Air rebusan ayam
Minyak

Garam dan perasa (atau gunakan serbuk stok ayam)

Cara memasaknya:

Kisar lumat bahan-bahan bertanda (*) termasuk daun kari, dgn menggunakan air rebusan ayam. Kemudian keluarkan dan campurkan ke dalam kisaran itu serbuk kari dan serbuk cili (jika gunakan serbuk). Kacau sehingga membentuk pes. 

Panaskan minyak dan tumiskan cili boh sehingga pecah minyak kemudian masukkan pes kari tadi dan kecilkan api. Masakkan sehingga terbit minyak. Setelah terbit minyak, masukkan kentang dan kacau lagi dlm seminit dua. Kemudian masukkan air baki rebusan ayam atau air biasa. Masukkan garam, perasa dan asam gelugor. Kemudian masukkan ayam. 

Oleh kerana ayam telah empuk dari rebusan awal, tak perlu dimasak lama, cukup dua atau tiga minit saja untuk memasakkan kentang. Masakkan ini tidak menggunakan santan untuk mengelakkan kari cepat basi. Sebaik-baik sahaja tutup api, tutuplah periuk masakan dan tinggalkan sedikit tudungnya terbuka untuk mengeluarkan wap. Panas periuk dan wap yg tinggal akan membuat kentang jadi empuk. 

No comments:

Post a Comment