Saturday, February 19, 2000

SOO HUN SUP THAI

Bahan-bahannya:

Ayam (ikut suka)

Satu paket soo hun

Satu ikat sawi (atau sebarang sayur hijau)

Segenggam taugeh

Dua batang daun bawang

Sedikit daun selasih

Bebola daging atau ayam

Satu sudu makan lada hitam

5 ulas bawang putih

Satu ikat daun ketumbar (daun dan akarnya digunakan)

Dua kuntum bunga lawang

Dua sudu makan kicap cair

Dua sudu makan kicap pekat (pilihan)

Serbuk atau kiub stok ayam

Dua sudu besar gula

Cili Flakes

Air secukupnya

Garam

Minyak

Cara-caranya:


Membuat kuah sup.


Tumbuk kasar lada hitam, sedikit garam, bawang putih dan akar daun ketumbar. Panaskan minyak di dalam periuk, tumiskan bahan-bahan tumbuk tadi sehingga naik bau. Masukkan ayam dan gaulkan dengan bahan tumis tadi. Biarkan ayam di setiap bahagian untuk menjadikan bahagian luarnya sedikit keperangan. Jadi balik balikkan ayam tersebut di setiap bahagian. Bahagian ini bukan untuk memasakkan ayam, hanya untuk mendapatkan warna perang sahaja, jadi tak perlu terlalu lama. 


Kemudian masukkan dua kuntum bunga lawang, kicap cair, kicap pekat (ikut suka) dan air. Kemudian masukkan stok ayam atau kuib ayam. Masukkan sebanyak satu jug sehingga 3/4 periuk. Masukkan gula. Masakkan dengan api sederhana selama 30 minit. Apabila sudah mendidih, buangkan buih yang timbul dipermukaan kuah. Keluarkan ayam tadi dan masukkan ke mangkuk lain dan tapiskan kuah sup tadi. Siap digunakan. 


Menyediakan bahan-bahan lain:


Rendamkan soo hun dengan air biasa selama lebih kurang 5 minit (jangan terlalu lama untuk mengelakkan jadi lembik). Potongkan sawi sepanjang dua inci dan ketepikan. Siapkan taugeh (cuci) dan ketepikan. Daun ketumbar dan daun bawang dicincang dan ketepikan. 


Menyediakan hidangan:


Masukkan kuah sup yang telah ditapis tadi kembali ke dalam periuk. Didihkan dan masukkan bebola daging atau ayam. Pada masa ini rasakan sup tersebut dan tambah apa yang kurang. Masukkan sos ikan nampla. Tapiskan soo hun tadi. Sebaiknya makanan ini disediakan secara sendirian. Bermaksud ambil segenggam sahaja soo hun yang kita akan makan, masukkan ke dalam penapis kecil, masukkan juga sawi dan taugeh. Sebelum itu panaskan air sehingga mendidih. Rendamkan sebentar (10 saat) penapis berisi soo hun tadi dan angkat. Masukkan ke dalam mangkuk. Letakkan juga ayam tadi ke dalam mangkuk. Ambil sup berserta bebola secukupnya dan curahkan ke atas soo hun. Taburkan daun ketumbar, daun bawang, daun selasih dan juga cili flakes. Siap untuk dimakan. 



No comments:

Post a Comment